Friday 22 April 2011

SEJARAH DAN PENGENALAN ITS

Falsafah ITS
“Melahirkan Huffaz Al-Quran dan Al-Qiraat berwibawa."


Matlamat ITS
Melahirkan generasi hufaz Al-Quran.
Memikul tanggungjawab memelihara kesinambungan generasi hufaz.
Melahirkan hufaz Al-Quran yang mahir menguasai Bahasa Arab.
Mengintegrasi pendidikan Al-Quran dan Sunnah Rasulallah s.a.w. dikalangan pelajar.
Melahirkan hufaz yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa.
Mengikut bimbingan Al-Quran dan As-Sunnah.


Objektif ITS
Menunaikan tanggungjawab fardhu kifayah.
Melahirkan hafiz/hafizah yang mahir dan mengetahui Al-Quran dalam bidang yang berkaitan.
Memelihara kesucian dan kesahihan Al-Quran daripada segala usaha penentangannya.
Menanamkan roh tarbiyah Islamiah menerusi manhaj Al-Quran.
Menyediakan sumber tenaga bagi institusi-institusi yang berkaitan.


Sejarah Penubuhan Institut Tahfiz SABA
Penubuhan institut ini adalah cetusan hati seorang hamba Allah yang ingin melihat ramai pelajar Islam belajar dalam bidang Al-Quran dan Al-Qiraat. Hasratnya ialah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang tiada peluang memasuki pusat-pusat pengajian kerajaan di dalam bidang tersebut di dalam negara. Lalu beliau membuat khairat dengan mendirikan sebuah institusi pengajian di atas sebidang tanah miliknya di Kerling, Selangor setelah mendapat khidmat nasihat dari pelbagai pihak. Satu jawatankuasa pengurusan institut telah ditubuhkan untuk menyelaraskan kerja-kerja tersebut.

Berkat kegigihan dan usaha yang kuat, maka tertubuhlah institut pengajian tahfiz dengan nama Institut Tahfiz SABA. Penubuhan ini telah didaftarkan dan mendapat kelulusan dari Bahagian Pendidikan dan Pelajaran Agama (Swasta), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 17 Oktober 1996 dengan nombor pendaftaran 2S (217/1096).

Walaupun institut ini sebuah institut pengajian agama swasta, namun program pengajian dan kurikulumnya adalah berdasarkan kepada sukatan akademik yang dianjurkan oleh kerajaan. Menyedari hakikat pentingnya perkara ini, pihak pengelola dan pengurusan akademik institut telah menyelaraskan program pengajian dan kurikulumnya mengikut sukatan pelajaran yang digunapakai oleh Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.



Kini ITS mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan menubuhkan cawangan banat (perempuan) di Temerloh, Pahang. Menggunakan bangunan sedia ada yang diwakafkan, ITS Temerloh telah memulakan operasi di Kampung Buntut Pulau pada awal Februari 2011. 


No comments: